News

 

Sarawak bakal terima kereta BMW hidrogen

Posted on 05 Feb 2024
Source of News: Utusan Sarawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak bakal menerima sebuah kereta hidrogen dari syarikat pengeluar kenderaan terkemuka dunia iaitu BMW.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara ini jelas menunjukkan semakin banyak syarikat mula beralih ke arah sumber tenaga bersih khususnya hidrogen.

“Mereka (BMW) nak berikan model kereta BMW 5 Series ini kepada Putrajaya, tetapi mereka tidak mempunyai hidrogen. Oleh itu, mereka akan hantarkan kereta itu ke Kuching, biarlah kami di Kuching yang menggunakannya.

“Ini menunjukkan semakin banyak syarikat yang mula beralih ke tenaga hidrogen, kerana hidrogen adalah tenaga yang paling bersih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Jabatan Tanah dan Survei (Landas) Summit 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching malam tadi.

Pada majlis itu, beliau juga meluluskan dana sebanyak RM5 juta kepada Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak bagi tujuan latihan dan pembangunan modal insan.

Abang Johari juga berkata, Sarawak harus memanfaatkan potensi dalam penghasilan dan pengeluaran tenaga untuk mendorong pertumbuhan ekonomi negeri.

Katanya, dengan memanfaatkan kekuatan tenaga ini, Sarawak dapat membezakan dirinya dari negeri lain dalam usaha memajukan ekonomi, baik di peringkat negeri mahupun nasional.

"Setelah kita melakukan analisis terhadap kekuatan-kekuatan tersebut, kita dapat memberikan fokus untuk memanfaatkan sepenuhnya. Ada yang menamakan ini sebagai kelebihan perbandingan, iaitu kelebihan terhadap pesaing kita.

"Jadi untuk Malaysia berkembang, Sarawak akan terus memberikan fokus kepada tenaga. Negeri lain mungkin mempunyai kekuatannya yang tersendiri, dan kekuatan kita adalah tenaga, jadi kita fokuskan kepada perkara ini," katanya.

Oleh SHAHRUL QAIZAT


image Polls
image Announcement