News

 

Kerajaan Sarawak sedia 49,221 lot kediaman melalui SPS, SPK sejak RMK4

Posted on 25 Aug 2023
Source of News: Utusan Borneo


Ding merakam gambar bersama dengan penerima TOL Bagi Lot Kediaman Skim Pembesaran Kampung Selemas dan Skim Pembesaran Kampung Bundong Sarikei pada Rabu

BINTANGOR: Sejak Rancangan Malaysia Ke-4 (RMK4), kerajaan Sarawak telah melaksanakan 121 Skim Penempatan Semula (SPS) yang telah menyediakan sebanyak 26,263 lot kediaman dan 198 Skim Pembesaran Kampung (SPK) membabitkan 22,958 lot kediaman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata, melalui kedua-dua skim ini Kerajaan Sarawak telahpun menyediakan sejumlah 49,221 lot kediaman melalui skim-skim ini yang telah dilaksanakan diseluruh Sarawak terutamanya di kawasan luar bandar.

"Skim Pembesaran Kampung dan Skim Penempatan Semula menyediakan lot-lot kediaman yang lebih selesa, terancang dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas seperti rangkaian jalan, sistem perparitan, bekalan air serta bekalan elektrik.

"Kerajaan Sarawak turut memperkenalkan dasar baharu iaitu penambahbaikan terhadap spesifikasi dan komponen intrastruktur asas di skim-skim baharu yang akan dilaksanakan.

"Projek lebih tersusun dengan menggunakan pendekatan baharu seperti penambahbaikan infrastruktur asas seperti jaringan jalan raya yang dahulunya hanya jalan batu, kini dinaik taraf kepada jalan berturap," kata Ding.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan TOL Bagi Lot Kediaman Skim Pembesaran Kampung Selemas dan Skim Pembesaran Kampung Bundong Sarikei di Dewan Pejabat Lama Meradong, pada Rabu.

Menurut Ding, kepimpinan dan kerajaan Sarawak, sentiasa berusaha memaksimumkan pembangunan di kawasan pedalaman dan luar bandar demi untuk kepentingan negeri, demi kemudahan dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, ia dapat dilihat pelbagai projek pembangunan infrastruktur yang telah diluluskan dan sedang dilaksanakan kerajaan seperti kerja-kerja menaik taraf jalan pesisir, Projek Jalan Utama Kedua, pembinaan jambatan atau dalam pelaksanaan, SPK SPS dan lain-lain.

"Kini, lot-lot yang dahulunya diagihkan tanpa ditimbus atau di tembok akan ditimbus dan sistem perparitan di dalam skim yang dahulunya hanya parit tanah telah ditambah baik dengan parit konkrit.

"Semua kos tembok, jalan bertar, parit konkrit ini akan ditanggung oleh kerajaan Sarawak dengan los lebih kurang RM100,000 selot.

"Satu lagi inisiatif baharu Kerajaan dalam SPS dan SPK adalah mengurangkan kadar premium sebanyak 50 peratus bagi lot kediaman di semua SPS dan SPK adalah tidak melebih RM2,500 selot," ujar Ding.

Tambahnya, inisiatif ini dilaksanakan bagi meringankan beban rakyat berpendapatan rendah yang terlibat dalam skim-skim berkenaan untuk menyelesaikan pembayaran premium.

Kata Ding lagi, SPK Kampung Selemas dan Kampung Bundong ini menyediakan sebanyak 176 lot kediaman dan daripada jumlah tersebut, kerajaan telah meluluskan 148 lot untuk diperuntuk yang sebahagiannya telah diluluskan, manakala pada Rabu sejumlah 47 lot TOL akan diserahkan.

Hadir sama ialah Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Sarikei Thian Choon Kui, wakil Residen Bahagian Sarikei Susie Dominic dan Ketua Polis Daerah Meradong DSP Sekam Anoi.


 

.


image Polls
image Announcement