News

 

Pembinaan masjid baharu di Jalan Apollo dapat lampu hijau

Posted on 06 May 2023
Source of News: Utusan Borneo
SIBU: Jawatankuasa Pembinaan Masjid Darul Firdaus, Jalan Apollo di sini mendapat lampu hijau bagi memulakan pembinaan masjid baharu dengan kos sejumlah RM13 juta bagi menampung jemaah yang semakin bertambah.

Sehubungan itu, hari ini berlangsung majlis penyerahan surat hak milik tapak tanah Masjid Darul Firdaus di bawah Seksyen 18, Kanun Tanah Negeri oleh Penguasa Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Sibu Muazziz Othman kepada pengerusi jawatankuasa pembinaan masjid itu, Hamzah A. Beeran.   

Majlis disaksikan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Pegawai Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Sibu Azhar Hipni dan Setiausaha Politik Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Andrew Lau.

Menurut Len, dengan kelulusan tapak tanah daripada JTS itu membolehkan Jawatankuasa Pembinaan Masjid Darul Firdaus membina bangunan masjid baharu berdekatan dengan masjid lama.

"Jika kita lihat dari segi jumlah penduduk di kawasan ini sememangnya sudah bertambah dan dalam kapasiti yang ada pada hari ini, ia tidak mencukupi. 

"Sebab itu, semasa saya melawat masjid ini dua tahun lalu mereka memohon untuk mendapatkan tapak membina masjid baharu.

"Dengan sumbangan Tabung Baitulmal sejumlah RM5 juta dan RM1 juta daripada Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof, mereka boleh memulakan pembinaan dalam masa terdekat," jelasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rejang itu berkata, kerja-kerja pembinaan dijangka bermula setelah jawatankuasa pembinaan melantik jururunding dan arkitek menyiapkan pelan bangunan selain mendapatkan kelulusan pihak tertentu.

"Jika lihat dari segi jangka masa menyiapkan masjid seluas itu, pembinaan dijangka mengambil masa lebih kurang dua tahun atau dua tahun setengah," katanya sambil menambah setelah siap masjid mampu menampung 600 hingga 1,000 jemaah pada satu-satu masa. 

Dengan anggaran kos RM13 juta, Len percaya pihak masjid mempunyai perancangan jangka masa panjang bagi menampung penambahan jumlah penduduk di kawasan sekitar akan datang. 

Mewakili Jawatankuasa Pembinaan Masjid Darul Firdaus, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang memberi kelulusan tapak bagi pembinaan masjid itu.


image Polls
image Announcement