SPAOH: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa untuk menyegerakan pembinaan Klinik Kesihatan (KK) Jenis Empat di Spaoh yang diluluskan sebelum ini.
Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Tanah dan Survei (JTS) hari ini melangsaikan pembayaran pampasan pengambilan tanah yang dijadikan tapak pembinaan klinik baharu berkenaan.
“Bagaimanapun, saya belum dimaklumkan tentang kos sebenar untuk projek pembinaan KK Jenis Empat (termasuk kuarters) di Spaoh ini.
“Pun demikian, kita telah menyediakan tapak seluas 2.6625 hektar, yang mana hari ini telah dibayar RM505,318.50 kepada pemilik tanah sebagai pampasan.
“Kita berharap KKM dapat membina klinik tersebut dengan secepat mungkin memandangkan KK Spaoh sedia ada sangat daif, selain faktor jumlah penduduk yang semakin bertambah,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban itu berkata demikian ketika ditanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah Projek Kawasan DUN Bukit Saban di Dewan Masyarakat Spaoh, hari ini.
Jelasnya, dengan pembinaan klinik kesihatan baharu nanti, pihaknya ingin memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada rakyat menerusi peralatan moden yang dilengkapkan, di samping tempat lebih selesa.
“Ia juga mengurangkan beban di KK Mid Layar dan Hospital Betong,” ujarnya.
Sebuah KK Jenis Empat dilengkapi dengan Jabatan Pesakit Luar (OPD), Unit Kemalangan dan Kecemasan (A&E), Unit Kesihatan Keluarga (MCH), Unit Pergigian, Unit Pengimejan dan Diagnostik (X-Ray), makmal farmasi dan sebagainya.
Tambah Uggah yang juga Pengerusi Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), di bawah BDDA, dibina satu Pusat Hemodialisis di Spaoh.
“Maknanya Spaoh bukan sahaja bakal ada KK Jenis Empat, namun juga Pusat Hemodialisis.
“Pusat Hemodialisis Spaoh telah diluluskan di bawah BDDA dengan peruntukan RM5 juta.
“Secara keseluruhan BDDA akan membina tiga Pusat Hemodialisis iaitu selain Spaoh, masing-masing akan dibina di Beladin dan Kabong.
“Kemudahan ini sangat perlu memandangkan semakin hari semakin ramai penduduk memerlukan rawatan sakit buah pinggang, ditambah lagi kemudahan sedia ada kini tidak mencukupi,” ujarnya.
Beliau berterima kasih kepada KKM kerana meluluskan pembinaan ketiga-tiga pusat itu, biarpun mereka bukan meluluskan kos pembinaannya.
Uggah pada majlis tersebut menyampaikan cek pampasan kepada 201 penerima membabitkan jumlah keseluruhan pampasan bagi empat projek iaitu RM8,591,036.80.
Pertama projek pembangunan Taman Pertanian Bebuling yang membabitkan pengambilan tanah seluas 268 hektar (177 lot) dengan bayaran RM7,345,322.15 kepada 126 penerima.
Kedua, pampasan bagi tapak projek pembinaan KK Jenis Empat di Spaoh.
Ketiga, projek membina Jalan Ulu Paku ke Ulu Kota dan menaik taraf Jalan Ulu Paku yang berjumlah RM408,106.70 (48 penerima) untuk tanah seluas 2.41219 hektar.
Keempat, projek menaik taraf Jalan Penyulok, Nanga Penebak dan Penebak di Ulu Layar yang membabitkan pengambilan tanah seluas 4.7 kilometer dengan bayaran RM332,289.45.
Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong Moris Nayup turut hadir sama.