Uggah disertai oleh Moris (kiri) dan Dr Harry menyampaikan cek kepada Clement Guwie
KUCHING: Pembangunan Agropark Bebuling serta Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusannya merupakan pendekatan baharu kerajaan melatih dan mempopularkan konsep pertanian moden kepada penduduk setempat.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia merupakan sebahagian daripada pembangunan yang dirancang kerajaan di kawasan berkenaan termasuk di kawasan Bukit Saban dan pekan Spaoh.
"Di agropark ini kita akan menggunakan sekitar 60 hektar tanah untuk membina rumah hijau. Kami mengalu-alukan bekas pemilik tanah antara lain menyertai program di sana.
"Kita juga mempunyai lapangan terbang landasan pendek (STOLport) Bebuling yang akan siap pada Ogos tahun depan yang akan menjadi pintu masuk untuk memasarkan produk kita dengan segera," jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bayaran pampasan tanah berjumlah RM8.591 juta kepada 201 penerima yang tanah mereka telah diambil alih untuk empat projek utama bagi kawasan Bukit Saban di Spaoh, Betong hari ini.
Pampasan terbesar sebanyak RM7,345,322 adalah untuk 126 pemilik tanah yang terjejas oleh pembangunan Agropark Bebuling serta Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusannya.
Uggah yang juga ADUN Bukit Saban menambah adalah objektif kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk membolehkan penduduk luar bandar berpendapatan rendah menambah pendapatan melalui pertanian moden.
"Sarawak telah diiktiraf sebagai wilayah berpendapatan tinggi tetapi kita mahu rakyat kita terutama mereka yang berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan mereka," katanya.
Beliau juga berkata selain agropark itu, Spaoh, Kabong dan Beladin masing-masing akan mendapat pusat hemodialisis.
"Kementerian Kesihatan telah memberi kelulusan kepada kami untuk menubuhkannya. Agensi Pembangunan Bahagian Betong akan membiayai projek itu dengan kos RM5 juta setiap satu.
"Kami percaya apabila siap ia akan mengurangkan barisan panjang harian di Hospital Betong atau Sri Aman.
"Dan sekali lagi, kementerian juga telah memberi kami kelulusan untuk membina klinik kesihatan baharu dan moden di Spaoh bagi menggantikan klinik lama yang sedia ada.
"Kami telah mengenal pasti tapak yang akan turut menempatkan pusat hemodialisis.
"Mengenai kos yang terlibat, ia masih ditentukan. Dan kami berharap pembinaan mereka dapat dimulakan tidak lama lagi," ujarnya.
Mengenai perkara lain, beliau menambah Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak akan membina kilang padi untuk menempatkan pesawah di kawasan penanaman padi Tanjung Sebekut.
Kawasan itu katanya, telah dikenal pasti sebagai salah satu kawasan jelapang padi negeri.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ketua Jabatan Tanah dan Survei Betong Moris Nayup dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak Dr Harry Entebang.