News

 

Penyukatan tanah NCR, lot individu diteruskan selagi ada permohonan – Awang Tengah

Posted on 29 Nov 2024
Source of News: Suara Sarawak

Awang Tengah menyerahkan surat hak milik tanah kepada salah seorang penerima sambil disaksikan oleh Asfia (dua kiri), Henry (kanan) serta tetamu kehormat lain.

BAU: Penyukatan tanah hak adat Bumiputera (NCR) dan lot individu untuk pengeluaran surat hak milik tanah tidak akan dihentikan selagi ia menerima permohonan daripada penuntut tanah, kata Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Katanya pengukuran hanya dilaksanakan setelah menerima permohonan, persetujuan dan sokongan penuntut tanah yang terlibat.

“Permohonan yang dihantar akan disemak berdasarkan perundangan dan bukti yang sahih sebelum diluluskan untuk disukat.

“Jika mereka tidak mahu tanah mereka diukur perimeter, kerja pengukuran tidak akan dilaksanakan,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri Dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (Pertanian Dan Kampung Tradisi) Bagi Kawasan DUN Tasik Biru di Dewan Sri Singai, di sini hari ini.

Dalam majlis itu, sebanyak 956 surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN) diserahkan kepada kepada kampung Segong, Senibung
Tanjong Poting, Apar, Sibuluh, Atas dan Grogo termasuk 332 surat hak milik tanah Seksyen 18 KTN bagi Kampung Buso, Kampung Bogag dan Kampung Skibang.

Manakala Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 KTN diserahkan kepada Kampung Bobak Sejinjang, Kampung Bogag dan Kampung Banan.

Menjelas lanjut, Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli Dan Pembangunan Bandar II berkata pengukuran tanah NCR bermula dengan peringkat pertama yang membolehkan kawasan tanah NCR yang luas dapat disukat dengan cepat dalam menentukan persempadanan tanah NCR yang jelas serta didaftarkan di dalam daftar tanah.

Seterusnya, beliau berkata Warta Rizab Komunal Bumiputera di bawah seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN) dikeluarkan dan selepas itu, penyukatan lot individu boleh dijalankan untuk pengeluaran surat hak milik tanah di bawah seksyen 18 KTN.

“Program ini sedang giat dilaksanakan meliputi ke semua kawasan dan bahagian di seluruh Sarawak merangkumi semua kaum Bumiputera yang mempunyai hak ke atas tanah NCR. Asalkan ia cukup bukti, sahih dan mengikut perundangan bahawa ini ialah kawasan tanah NCR mereka,” katanya.

Bagaimanapun, Awang Tengah menegaskan mana-mana yang masih melibatkan pertikaian dan perbicaraan di mahkamah, kerja pengukuran tidak akan dilaksanakan melainkan kes tersebut ditarik balik, dengan penuntut perlu memohon semula untuk penyukatan tanah NCR mereka.

Sementara itu, beliau berkata melalui program pengukuran tanah NCR, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak telah berjaya menyukat secara perimeter seluas lebih kurang 1,168,123 hektar (2.8 juta ekar) seluruh bahagian Sarawak dari tahun 2010 hingga 31 Oktober 2024 dan daripada jumlah tersebut, seluas 924,596 hektar atau 2.28 juta ekar telah diwartakan.

Manakala setakat 31 Oktober 2024, Awang Tengah berkata sebanyak 93,222 lot individu berjaya diukur yang melibatkan kawasan seluas 112,021 hektar (276,804 ekar).



image Polls
image Announcement