KUCHING: Kerajaan Sarawak sedia memberi kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan projek pembinaan rumah mampu milik besar-besaran.
Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ia termasuk dari segi pemberian tanah, seperti yang pernah dilaksanakan di bawah projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) sebelum ini.
“Kalau ada program seperti itu, kita akan bagi kerjasama…seperti projek PR1MA dulu, kita akan mengenal pasti tapak-tapak dan mereka (Kerajaan Persekutuan) turut bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC),” katanya.
Ia susulan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dilaporkan berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengumumkan satu projek pembinaan rumah mampu milik melibatkan pelaburan bernilai RM13 bilion.
Katanya pengumuman itu akan dibuat Perdana Menteri bulan depan dan ia merupakan pelaburan paling besar dalam sejarah negara bagi projek berkenaan.
Bagaimanapun, Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata setakat ini, beliau belum tahu secara terperinci soal projek itu.