News

 

Inisiatif pengukuran tanah NCR diteruskan selagi diperlukan: Awang Tengah

Posted on 29 Nov 2024
Source of News: Utusan Borneo



Awang Tengah (dua kiri) secara simbolik menyerahkan sijil kepada wakil penduduk kampung pada Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN) dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTN di Bau, hari ini.

KUCHING: Kerajaan akan terus melaksanakan inisiatif baharu pengukuran tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) selagi diperlukan untuk menjamin hak rakyat terhadap tanah NCR mereka.

Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, inisiatif itu juga akan diteruskan asalkan penuntut tanah NCR dapat membuktikan tuntutan mereka sahih mengikut undang-undang.

"Penyukatan tanah NCR ini hanya dilaksanakan setelah menerima permohonan daripada penuntut tanah NCR.

"Permohonan yang dihantar akan disemak berdasarkan perundangan dan bukti yang sahih sebelum diluluskan untuk disukat.

"Mana-mana yang masih melibatkan pertikaian dan perbicaraan di mahkamah, kerja pengukuran tidak akan dilaksanakan melainkan kes tersebut telah ditarik balik. Penuntut perlu memohon semula untuk penyukatan tanah NCR ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN) dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTN (Pertanian dan Kampung Tradisi) bagi kawasan DUN Tasik Biru di Dewan Sri Singai di Bau, hari ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua memberitahu, kerajaan di bawah pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah memperuntukkan sebanyak RM40 juta untuk penyukatan tanah NCR.

Beliau berkata, sejak tahun 2010 hingga 31 Oktober 2024, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) telah berjaya menyukat secara perimeter tanah seluas lebih kurang 1,168,123 hektar (2.8 juta ekar) di seluruh Sarawak.

Katanya, daripada jumlah itu, seluas 924,596 hektar atau 2.28 juta ekar telah diwartakan.

Sementara itu bagi pengukuran tanah lot, Awang Tengah berkata, setakat setakat 31 Oktober 2024, sebanyak 93,222 lot individu telah berjaya diukur melibatkan kawasan seluas 112,021 hektar (276,804 ekar).

"Ini termasuklah Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTN yang diserahkan pada hari ini iaitu sebanyak 956 surat hak milik tanah," katanya.

Selain pengukuran berkenaan, Awang Tengah berkata, kerajaan juga giat melaksanakan program pengukuran kampung tradisional sebagai usaha berterusan.

Ia katanya untuk memastikan jaminan hak milik ke atas tanah penduduk kampung bagi kampung-kampung yang telah lama wujud, sama ada di kawasan yang telah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 KTN (Kampung) mahupun belum diwartakan.

"Program ini dilaksanakan secara berperingkat, selagi ada permintaan untuk menyukat kampung, kita akan teruskannya. Apa yang paling penting, penduduk kampung perlu membuat permohonan kepada Jabatan Tanah dan Survei.

"Program ini adalah jaminan kerajaan dalam mengiktiraf pemilikan tanah dengan mengeluarkan surat hak milik tanah kepada masyarakat Bumiputera yang menduduki kampung tradisional," katanya.

Beliau memaklumkan, setakat 31 Oktober 2024, sebanyak 55,707 lot kediaman kampung di seluruh Sarawak telah disukat.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 50,758 lot telah dikeluarkan surat hak milik dan hari ini, saya akan menyerahkan sebanyak 332 surat hak milik tanah Seksyen 18 KTN," katanya.



image Polls
image Announcement