News

 

53 penerima TOL Skim Pembesaran Kampung Bukit Kinyau

Posted on 27 Nov 2024
Source of News: Utusan Sarawak



SARIKEI: Sebanyak 53 Lesen Pendudukan Sementara (TOL) telah diserahkan bagi Skim Pembesaran Kampung (SPK) Bukit Kinyau. 

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berharap agar 53 penerima TOL terus membangunkan tanah lot tersebut dengan membina rumah kediaman. 

“Jangan sesekali menjual lot tersebut demi mendapatkan keuntungan semata-mata. 

“Pelaksanaan program Skim Penempatan Semula (SPS) dan SPK sejak Rancangan Malaysia Ke-4 adalah komitmen dan keprihatinan kerajaan Sarawak terhadap rakyat berpendapatan rendah yang memerlukan tanah untuk mendirikan rumah.

“Di SPK dan SPS menyediakan lot-lot kediaman yang lebih selesa, terancang dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas seperti rangkaian jalan raya, sistem perparitan, bekalan air serta bekalan elektrik,” katanya. 

Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan TOL SPK Bukit Kinyau di Dewan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei, hari ini. 

Beliau berkata sejak 2018, pembangunan infrastruktur spesifikasi baharu yang dilaksanakan melibatkan jalan raya berturap, parit konkrit, lot-lot yang ditembok dan sistem retikulasi bekalan air serta bekalan elektrik di SPS dan SPK melibatkan purata kos sebanyak RM150,000 bagi setiap lot.

“Atas keprihatinan kerajaan Sarawak, bayaran premium tanah bagi setiap lot ditetapkan tidak melebihi RM2,500 dan pembayarannya boleh dibuat secara ansuran tahunan sehingga 10 tahun.

“Selain itu juga, kerajaan turut menaik taraf SPS dan SPK sedia ada yang belum diserahkan mengikut pendekatan baharu ini. 

“Selain itu, Rumah Spektra Permata (RSP) diperkenalkan dan dibangunkan di SPS dan SPK dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC),” katanya. 

Katanya, RSP tersebut mempunyai tiga bilik, ruang tamu dan ruang makan. 

“Rumah induk ini boleh diubahsuai di masa akan datang. 

“Pemilik lot yang layak mendapat RSP akan ditawarkan kemudahan pembiayaan pinjaman dengan kadar faedah yang tidak membebankan pemilik lot terbabit melalui Mutiara Mortgage and Credit Sdn Bhd,” katanya.

Oleh Earl Anek



image Polls
image Announcement