News

 

Dua jambatan bila siap, bakal bawa perubahan sosioekonomi penduduk Pulau Bruit

Posted on 15 Sep 2024
Source of News: Utusan Sarawak

DARO: Pulau Bruit bakal mengalami transformasi besar dengan siapnya dua projek jambatan utama, Jambatan Batang Paloh dan Jambatan Muara Lassa, yang dijangka akan membawa perubahan ketara dalam kehidupan penduduk tempatan.

Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab, berkata kedua-dua jambatan ini akan menjadi pemangkin peningkatan kualiti hidup di kawasan tersebut. 

Menurutnya, projek ini bukan sahaja bakal memendekkan masa perjalanan, malah dijangka menggalakkan perkembangan kegiatan sosioekonomi penduduk di Pulau Bruit.

“Pulau Bruit akan dihubungkan oleh dua jambatan besar, menjadikannya sebahagian penting dalam rangkaian Jalan Pesisir Pantai Sarawak. Ini bakal membuka peluang interaksi ekonomi bagi penduduk dari Mukah, Bintulu, Sarikei, dan Saratok,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada ucapan aluan Pesta Pulau Bruit 2024 yang dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Pusat Pertumbuhan Desa (RGC) Kampung Semop dekat sini, hari ini.

Melalui projek ini, katanya, penduduk Pulau Bruit dijangka akan meraih manfaat besar daripada peningkatan aliran pelawat dan kegiatan ekonomi yang lebih pesat.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, berkata Pulau Bruit berpotensi menjadi pusat pembekalan makanan, khususnya hasil laut, buah-buahan, dan beras bagi Zon Tengah Sarawak.

“Sebanyak 20 agensi kerajaan telah dijemput sebagai pempamer dalam pesta yang dianjurkan di Pulau Bruit hari ini untuk berinteraksi dengan komuniti setempat, terutama golongan nelayan dan petani,” katanya.

Beliau berkata pendedahan kepada teknik dan pendekatan moden dalam bidang pertanian dan perikanan diharapkan dapat memacu inovasi serra peningkatan pendapatan komuniti setempat, terutamanya golongan muda.



image Polls
image Announcement