picture

News

 

Masjid Darul Firdaus dibina baharu

Posted on 06 May 2023
Source of News: Utusan Sarawak
SIBU: Jawatankuasa Pembinaan Masjid Darul Firdaus di Jalan Apollo sini mendapat lampu hijau bagi memulakan pembinaan masjid baharu, dengan kos RM13 juta bagi menampung jemaah yang semakin bertambah.

Majlis penyerahan surat hak milik tapak tanah Masjid Darul Firdaus di bawah Seksyen 18, Kanun Tanah Negeri diadakan hari ini.

Ia diserahkan Penguasa Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Sibu Muazziz Othman kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Masjid, Hamzah A. Beeran di masjid itu.

Majlis disaksikan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Pegawai Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Sibu Azhar Hipni dan Setiausaha Politik Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Andrew Lau.

Menurut Len Talif, dengan kelulusan tapak tanah daripada JTS itu membolehkan Jawatankuasa Pembinaan Masjid Darul Firdaus membina bangunan masjid yang baharu berdekatan masjid sedia ada.

"Jika kita lihat dari segi jumlah penduduk di kawasan ini, sememangnya sudah bertambah dan kapasiti masjid sedia ada tidak mencukupi.

“Sebab itu semasa saya melawat masjid ini dua tahun lepas, mereka sudah memohon untuk mendapatkan tapak ini bagi membina masjid baharu.

"Dengan sumbangan Tabung Baitulmal sebanyak RM5 juta dan RM1 juta dari Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof, mereka sudah boleh memulakan pembinaan dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Rejang itu berkata, kerja-kerja pembinaan dijangka bermula setelah jawatankuasa pembinaan melantik jururunding dan arkitek menyiapkan pelan bangunan, selain mendapatkan kelulusan daripada pihak tertentu.

"Jika lihat dari segi jangka masa untuk menyiapkan masjid seluas itu, pembinaan akan mengambil masa lebih kurang dua tahun atau dua tahun setengah," katanya sambil menambah setelah siap, masjid baharu mampu menampung antara 600 hingga 1,000 jemaah pada satu-satu masa.

Dengan anggaran kos RM13 juta, Len Talif percaya pihak masjid mempunyai perancangan jangka masa panjang untuk masjid ini lebih-lebih lagi bagi menampung penambahan jumlah penduduk di kawasan sekitar pada masa akan datang.

Mewakili pihak Jawatankuasa Pembinaan Masjid Darul Firdaus, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerana telah memberi kelulusan tapak bagi membolehkan pembinaan diteruskan.

Oleh RAIHAN OMERA KAUSAR


picture Polls
picture Announcement