Font Size Font: IncreaseFont: NormalFont: Decrease
Language:   English  | Malay

Pengambilan Balik Tanah Untuk Tujuan Awam dan Dasar-Dasar Kerajaan Untuk Kepentingan Rakyat.
Posted on : 10 Oct 2018  Source of News: Jabatan Tanah dan Survei Sarawak
 

Merujuk kepada laporan berita yang disiarkan dalam media sosial baru-baru ini, Jabatan ingin menjelaskan dengan lanjut mengenai tujuan pengambilan balik tanah untuk kegunaan dan kepentingan awam.

Pengambilan balik tanah adalah sesuatu yang  tidak dapat dielakkan dalam kerajaan melaksanakan projek-projek bagi kegunaan awam seperti menyediakan infrastruktur termasuklah cadangan perlaksanaan projek LRT di Bandaraya Kuching. Adalah menjadi kelaziman amalan pengambilan balik tanah di laksanakan diseluruh dunia termasuk di Semenanjung Malaysia dan di Sarawak bagi pelaksanaan projek-projek kegunaan awam.

Sebelum pengambilan balik tanah dimulakan, tanah-tanah yang berkemungkinan terlibat dengan cadangan projek LRT perlu diletakkan di bawah Seksyen 47 Kanun Tanah Negeri.  Ini bagi membolehkan kajian terperinci termasuk kajian dilapangan dilaksanakan sebelum jajaran LRT tersebut dimuktamadkan dan tanah-tanah yang benar-benar terlibat dikenal pasti.

Tanah-tanah yang tidak terlibat akan dilepaskan dari  Seksyen 47 manakala bagi tanah-tanah yang terlibat, proses pengambilan balik tanah dan pembayaran pampasan berdasarkan bahagian IV Kanun Tanah Negeri akan di mulakan.  Secara dasarnya juga, adalah menjadi amalan kerajaan negeri untuk memastikan Seksyen 47 disemak semula selepas 2 tahun perletakannya dan ianya akan dilepaskan sekiranya tidak diperlukan lagi.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi, projek LRT bandaraya Kuching tidaklah diberhentikan tetapi ditangguhkan perlaksanaannya. Walaupun demikian, Kerajaan sedang membuat kajian akhir laluan dan jajaran LRT tersebut bagi menentukan tanah-tanah yang benar-benar terlibat, sekiranya projek tersebut dimulakan kelak. Pelaksanaan projek LRT adalah salah satu strategi kerajaan bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di bandaraya Kuching dan sekitarnya terutama yang melibatkan laluan Kota Samarahan-Kuching di mana kesesakan lalu lintas berlaku setiap kali.

Berhubung dengan pembaharuan tempoh surat hakmilik di sepanjang kawasan yang berkemungkinan terlibat dengan jajaran LRT, keputusan muktamad berhubung permohonan sedemikian akan dibuat setelah jajaran LRT dimuktamadkan. Berdasarkan rekod, hanya 5 permohonan telah ditolak di kawasan tersebut.  Walau bagaimanapun pemilik-pemilik tanah terbabit boleh mengemukakan semula permohonan mereka setelah jajaran LRT dimuktamadkan.