Font Size Font: IncreaseFont: NormalFont: Decrease
Language:   English  | Malay

 


Saya dan pengurusan tertinggi Jabatan Tanah dan Survei Sarawak mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada seluruh warga kerja JTS yang beragama Kristian.  Sekali lagi kita dapat berkumpul, tanpa mengira latar belakang hidup, sama-sama merayakan Hari Krismas tahun ini.  Sesungguhnya Hari Krismas dan juga sambutan-sambutan hari kebesaran suku kaum lain yang diadakan setiap tahun memain peranan penting dalam menyemarakkan toleransi beragama, keharmonian budaya, persefahaman dan perpaduan.

Seperti juga sambutan-sambutan perayaan agama yang lain di sini, Hari Krismas memberikan kesempatan untuk bertukar-tukar ucapan selamat dalam kalangan keluarga dan sahabat termasuklah warga kerja JTS yang berlainan anutan dan suku kaum.  Sudah menjadi amalan hidup dan tradisi untuk mengadakan rumah terbuka serta kunjung-mengunjungi semasa musim perayaan begini demi mengeratkan lagi perpaduan dan keutuhan di kalangan bangsa di negeri ini.  Dengan sikap sentiasa bersedia menerima antara satu sama lain, menghormati adat dan budaya orang lain, kita akan dapat merayakan sambutan perayaan ini dengan lebih bermakna dan meriah.

Saya berharap, amalan menyambut perayaan secara bersama seperti ini dalam keadaan aman damai dan harmoni akan berterusan dari semasa ke semasa.  Inilah usaha ikhlas kita dalam mengamalkan konsep ethnic thrust building yang berasaskan saling menghormati dan memahami antara satu sama lain, dan juga berlandaskan kesediaan untuk menerima sebagaimana kita diterima.

Marilah kita sama-sama menyambut perayaan ini dalam semangat yang akan terus membawa kemajuan kepada kita serta mengeratkan lagi perhubungan dan persaudaraan antara pelbagai kaum, yang bukan setakat semangat toleransi, malah yang lebih penting perayaan ini disambut berasaskan saling menghormati dan mempercayai antara satu lain.  Selain menyambut perayaan ini bersama keluarga, sahabat dan orang yang tersayang, perayaan seperti ini juga memberikan peluang untuk masyarakat berhimpun dan menghulurkan sumbangan dan bantuan ihsan kepada mereka yang kurang bernasib baik dan daif, dengan harapan mereka akan dapat sama-sama menyambut perayaan ini dalam suasana gembira.  Dalam suasana kegembiraan begini, kita harus juga mengingati mereka yang miskin dan memerlukan bantuan.  

Tahun 2017 sudah menghampiri penghujungnya dan sudah banyak kenangan dan kejayaan yang kita kecapi. Tahun 2018 pula pastinya akan menjanjikan pengembaraan ke arah penyampaian perkhidmatan awam menuju Kerajaan Digital. Peranan penjawat awam semakin mencabar dalam menempuh era ekonomi digital. Oleh kerana itu warga JTS perlulah melengkapkan diri  dengan kompitensi relevan seiring  dengan perubahan semasa supaya tidak ketinggalan dan menyokong usaha mentranformasikan perkhidmatan awam yang lebih cekap dan bertaraf dunia. Ini dapat menambahbaik cara penyampaian Kerajaan supaya memberi perkhidmatan cemerlang  kepada rakyat.

Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Krismas dan  Tahun Baru 2018 kepada seluruh warga JTS Sarawak.

Sekian, terima kasih.

En. Kueh Hui Urg

Pemangaku Pengarah Tanah dan Survei

Sarawak